Kurma Mentega: Makanan Sunnah Yang Asalnya Manfaat, Boleh Bertukar ‘Racun’

Kurma Mentega: Makanan Sunnah Yang Asalnya Manfaat, Boleh Bertukar ‘Racun’

SETIAP kali Ramadan, makanan yang cukup menjadi ‘signature’ sepanjang masa adalah kurma.

Sama ada dijadikan santapan ringkas ketika bersahur di hening pagi, ataupun sebagai juadah pemula sewaktu berbuka puasa.

Umumnya kita sudah faham bahawa kurma adalah salah satu perkara yang dikategorikan sebagai makanan sunnah.

Namun awas, walaupun begitu, ada keadaan tertentu boleh mengubah ‘statusnya’ kepada makanan yang berbahaya.

Setiap benda di dunia ini ada dua sisi berbeza, iaitu kelebihan dan kekurangannya dan kurma pun tidak terlepas daripada ‘hakikat kejadian’ ini.

Kelebihan kurma

Kurma dicipta dengan banyak manfaat, tiga yang utama adalah pembekal tenaga segera, pembekal mineral dan vitamin penting serta sumber serat.

1. Pembekalan tenaga segera

Kurma mengandungi kandungan gula yang tinggi, iaitu mewakili 80 peratus daripada keseluruhan komposisi buah apabila sudah masak, serta 75 peratus apabila sudah dikeringkan.

Justeru pengambilannya dapat beri tenaga daripada gula / karbohidrat di dalamnya dengan cepat, mudah lagi lazat, sekali gus sesuai dijadikan santapan ketika sahur dan makanan pertama sewaktu berbuka puasa.

2. Bekal mineral & vitamin penting untuk badan

Antara mineral penting dikandungi kurma ialah potasium, kalsium, magnesium, zat besi dan sodium, selain vitamin B3 (Niacin), asid folik, vitamin K, vitamin B6 dan vitamin A.

Kesemua mineral dan vitamin ini penting untuk kesempurnaan fungsi badan seperti kelancaran fungsi saraf, pelepasan tenaga daripada karbohidrat dalam makanan, kesejahteraan sel-sel badan, membantu aktiviti enzim dan metabolisma badan serta membentuk sel darah merah.

3. Sumber serat

Serat boleh meningkatkan isipadu makanan tanpa penambahan kalori, sekali gus membuatkan kita rasa kenyang lebih lama dengan kalori yang rendah.

Serat juga dapat lindungi kita daripada sembelit, selain mampu turunkan kadar kolestrol dalam darah terutama LDL (kolestrol jahat).

Serat harian orang dewasa adalah antara 30-37 gram. Secawan kurma mengandungi 11.8 gram serat, justeru ia sudah hampir mencukupi setengah daripada keperluan serat harian kita.

Kesan sampingan kurma

Namun, macam yang disebut tadi, kita juga bakal berdepan dengan risiko kalau mengambil kurma melebihi daripada jumlah yang sepatutnya.

Terdapat beberapa kesan sampingan yang menanti, antaranya adalah ia tinggi karbohidrat serta tinggi kandungan gula.

1. Tinggi karbohidrat

Secawan kurma mengandungi 110 gram karbohidrat, sedangkan keperluan karbohidrat harian kita hanyalah 300 ke 400 gram saja.

Ringkasnya, jika ambil secawan kurma saja ia sudah pun memenuhi kira-kira 30% keperluan karbohidrat harian kita.

2. Tinggi gula

Dalam 100 gram kurma, gula yang terkandung di dalamnya adalah 66 gram. Ia sudah melebihi had pengambilan gula yang dianjurkan iaitu empat sudu makan setiap hari atau bersamaan 50 gram.

Jadi jika makan kurma untuk berbuka puasa, pastikan kadarnya tidak berlebihan.

Jika tidak, bersedialah untuk menghadapi pelbagai penyakit berisiko seperti peningkatan kolestrol dalam tubuh, kencing manis dan seumpamanya.

Kurma mentega: sunnah, tapi?

Tular pula baru-baru ini tentang kurma mentega yang dikatakan sebagai salah satu makanan kegemaran Nabi Muhammad SAW.

Imbas hadis, daripada Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr, mereka berkata;

دخل علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم «فقدمنا زبدا وتمرا وكان يحب الزبد والتمر

“Rasulullah SAW telah masuk ke rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar. Baginda menyukai mentega dan tamar.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Benar, ia adalah antara kegemaran Baginda SAW. Namun berbalik kepada prinsip asas, makanan yang diambil berlebihan pasti ada mudaratnya.

Mentega asasnya adalah lemak haiwan yang mengandungi kandungan lemak tepu yang tinggi, bermakna kalorinya juga agak tinggi.

Difahamkan, nilai kalori bagi sebiji kurma mentega adalah menyamai dengan satu senduk nasi.

Jadi jika mahu dimakan ketika bersahur, memadailah dalam kadar yang begitu sedikit sahaja.

Kesimpulannya, kurma memang makanan sunnah, termasuklah kurma mentega yang sedang ‘trending’ sekarang.

Namun awas, jika diambil berlebihan, tidak mustahil ia boleh bertukar menjadi ‘racun’!

Akhir kata, berpada-padalah.

 

 

Sumber rujukan:

  1. Kurma: Bagaimana Kurma Mempengaruhi Kesihatan Anda, Hello Doktor
  2. Manfaat Kurma & Kesan Sampingannya, Hello Doktor
  3. Maktabah al-Bakri
  4. Kurma ‘Butter’ Bawa Lebih Banyak Mudarat Daripada Kebaikan

Suka Artikel Ini?

Facebook
WhatsApp
Telegram

4 thoughts on “Kurma Mentega: Makanan Sunnah Yang Asalnya Manfaat, Boleh Bertukar ‘Racun’”

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *