Ini Cara Sambut Hari Raya Aidilfitri Mengikut Sunnah

Ini Cara Sambut Hari Raya Aidilfitri Mengikut Sunnah

BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Seiring dengan nama lainnya, ‘hari kemenangan’, sudah tentu ia akan disambut dengan penuh rasa gembira, bukan?

Menurut istilah, Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah merupakan hari yang disyariatkan untuk disambut sebagai hari kegembiraan dan kemenangan bagi umat Islam yang berjaya melalui bulan Ramadan dengan sempurna.

Selain meraikan kemenangan, Aidilfitri juga adalah waktu untuk kita menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah Taala atas rahmat dan petunjuk-Nya, sejajar dengan firmannya di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-185:

“Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur,”

Berbalik kepada konteks, dalam tempoh menanti ketibaan hari raya yang mulia, sudah tentu ada kaedah persediaannya, bukan? Supaya Aidilfitri yang disambut itu menjadi selari dengan sunnah dan syara’.

Tahukah anda, terdapat beberapa cara persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri menurut sunnah seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW agar kegembiraan kita turut mendapat keberkatan daripada Allah Taala.

Jom ikuti sembilan sunnah di bawah:

9 cara sambut hari raya Aidilfitri menurut sunnah

1) Bertakbir – Amalan paling sinonim dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah bertakbir. Kita disunatkan untuk bertakbir pada malam dan pagi hari raya, di mana-mana sahaja lokasi kita berada (selain tandas).

2) Beribadat ‘final’ sebelum raya – Kita disunatkan untuk menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah Taala seperti solat, berzikir, membaca al-Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan seumpamanya.

Rasulullah SAW pun turut bersabda mengenai perkara ini dalam hadisnya yang bermaksud, “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah, nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati,” (hadis riwayat Ibn Majah)

3) Mandi sunat & berhias – Kita juga disunatkan untuk mandi sunat hari raya, kemudian hiaskan diri dengan memakai pakaian yang baik serta bau-bauan (wangian) sebelum keluar menunaikan solat hari raya.

4) Makan sebelum solat – Kita disunatkan untuk makan terlebih dahulu sebelum keluar menunaikan solat raya.

Ini adalah berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik RA, “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil,” (hadis riwayat Bukhari)

5) Keluar awal untuk solat raya – Bagi kita yang makmum, sunat untuk pergi ke tempat solat raya dengan lebih awal. Manakala imam pula disunatkan datang lewat sedikit, iaitu ketika hendak mendirikan solat raya.

6) Pergi balik solat jalan lain – Kita disunatkan untuk keluar pergi solat melalui jalan lain dan balik ke rumah semula selepas solat melalui jalan lain. Bagi yang mampu (berupaya tubuh badannya), adalah lebih afdhal untuk pergi solat dengan berjalan kaki.

7) Ceria dan bergembira – Selain itu, kita disunatkan menzahirkan keceriaan dan kegembiraan ketika bertemu dengan orang mukmin, selain saling ziarah-menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim serta mengucapkan ucapan yang baik.

8) Jaga adab – Walaupun meriah berjumpa sanak-saudara, kita tetap diingatkan untuk menjaga batas iaitu tidak berjabat salam antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti ipar, isteri bapa saudara atau suami emak saudara dan seumpamanya.

9) Kongsi rezeki – Kita turut disunatkan untuk memberi kelapangan kepada keluarga daripada segi perbelanjaan, selain memperbanyakkan sedekah sekadar termampu.

Dapat sesuatu? Jom amalkan.

Akhir kalam, Quran Pro Academy ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Minal ‘aidin wal faizin!

 

 

 

Sumber rujukan: Cara Menyambut Aidilfitri Mengikut Sunnah, Jabatan Mufti Negeri Terengganu

Suka Artikel Ini?

Facebook
WhatsApp
Telegram

4 thoughts on “Ini Cara Sambut Hari Raya Aidilfitri Mengikut Sunnah”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *