Usaha untuk kumpul dan tulis semula Al-Quran jadi sangat serius pada zaman pemerintahan khalifah Uthman bin ‘Affan r.a.
Isu-isu yang timbul pada zaman beliau menyebabkan Al-Quran sempurna ditulis kesemuanya dalam bentuk lembaran naskah Al-Quran yang lengkap.
Ada 2 faktor :
1 – Faktor pertama yang mendorong kepada terkumpulnya Al-Quran pada ketika itu adalah kerana wujudnya lembaran (mushaf) peribadi para sahabat r.a.
Di kalangan para sahabat ada yang menulis Al-Quran untuk rujukan dan simpanan mereka sendiri.
Antara mushaf-mushaf yang masyhur ialah,
1 – Mushaf Abdullah ibnu Mas’ud
2 – Mushaf Ubai bin Ka’ab
3 – Mushaf Abu Musa Al-Asy’ari
4 – Mushaf Al-Miqdad bin ‘Amr
Dan lain-lain lagi.
Al-Quran yang mereka tulis secara peribadi ini ada yang ditambah dengan catatan mereka sendiri tentang maksud atau peringatan tentang sesuatu ayat.
Ada juga di antara mushaf itu yang terputus dan tak lengkap susunan ayat-ayatnya atau surah-surahnya.
Perkara ini berlaku sebab Al-Quran itu diturunkan kepada Rasulullah dalam tempoh 23 tahun.
Disebabkan itu tak semua sahabat dapat ikuti perkembangan penurunan ayat kepada Rasulullah.
Ada juga yang mereka tak sempat ambil terus dari Rasulullah atau melalui sahabat yang lain.
Maka lepas selesai penulisan semula Al-Quran, Saidina Uthman r.a. mengarahkan semua mushaf lain dimusnahkan bagi tujuan menyatukan umat islam di bawah satu mushaf sahaja.
.
2 – Faktor kedua yang menjadi pendorong kepada terkumpulnya Al-Quran pada ketika itu adalah kerana perbezaan qiraat yang membawa kepada pertikaian umat islam.
Walaupun baca dengan Al-Quran dengan berbagai qiraat itu adalah satu ‘rukhsoh’ (kelonggaran) yang dibenarkan Rasulullah, hal ini telah mencetuskan pertikaian di kalangan umat islam selepas baginda wafat.
Ini berlaku kerana apabila mereka telah mempelajari Al-Quran satu jenis qiraat, masing-masing menganggap qiraat mereka sahajalah yang betul dan qiraat orang lain adalah salah, sehingga menimbulkan persengketaan sesama mereka.
Sedangkan ketika itu di kalangan para sahabat r.a. yang mengajar Al-Quran kepada umat islam di segenap ceruk rantau, ada yang mengajar Al-Quran secara satu atau dua sahaja daripada tujuh perbezaan bacaan yang dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Maka lama kelamaan timbullah kecelaruan dalam fahaman umat islam tentang yang mana satu kah qiraat yang benar atau yang mana satu kah qiraat yang lebih hebat daripada yang lain.
.
Abu Ayyub meriwayatkan bahawa Saidina Uthman r.a. pernah berkhutbah, katanya,
“Kamu berselisihan sedangkan aku di sisi kamu, dan saling menyalahkan bacaan sesama kamu, maka bagaimanakah keadaan mereka saudara kita yang berada jauh dariku di negeri-negeri umat islam,
Sudah tentu lebih dahsyat perselisihannya dan kesalahan bacaannya, maka ayuh bersatulah kita wahai umat Muhammad, dan tulislah satu mushaf yang akan menjadi imam (induk bagi kita).”
Perkara-perkara yang disebutkan di atas tadi menyebabkan Saidina Uthman r.a. mengorak langkah serius dalam mengumpul dan menulis semula Al-Quran hingga ia menjadi suatu realiti.
.
Kisah ini diceritakan oleh Anas bin Malik r.a,
Bahawa Huzaifah bin Yaman datang menemui Uthman, dia menyertai penduduk Syam dalam peperangan membuka Armenia dan Azerbaijan bersama penduduk Iraq.
Huzaifah amat terkejut melihatkan perselisihan mereka (yang menyertai peperangan itu) dalam bab qiraat (bacaan Al-Quran).
Maka Huzaifah pun mengatakan kepada Uthman,
“Wahai Amirul Mukminin, selamatkanlah umat ini sebelum mereka berselisihan tentang Al-Quran seperti perselisihan yang berlaku di kalangan yahudi dan nasrani tentang Kitab mereka.”
Kemudian Uthman pun mengutuskan seseorang untuk berjumpa dengan Hafsah meminta dia menyerahkan kesemua lembaran Al-Quran yang disimpannya, kerana hendak ditulis semula dalam beberapa naskah lembaran.
Setelah itu ia dikembalikan semula kepada Hafsah.
Maka, Hafsah pun menyerahkannya kepada Uthman. Uthman pula mengarahkan,
1 – Zaid bin Thabit
2 – Abdullah bin Zubair
3 – Sa’id bin Al-‘As
4 – Abdul Rahman bin Harith bin Hisyam
Untuk mereka tulis dalam beberapa naskah lembaran.
Uthman berpesan pada 3 penulis dari puak Quraisy (iaitu Abdullah, Sa’id dan Abdul Rahman),
Jika kamu bertiga mendapati apa-apa perbezaan nas Al-Quran dengan Zaid, maka tulislah apa yang menepati bahasa puak Quraisy kerana Al-Quran itu diturunkan pada bahasa mereka.
Mereka pun melakukan seperti yang diarahkan.
Seusai mereka menulis kesemuanya dalam mushaf-mushaf, Uthman mengembalikan semula mushaf yang asal kepada Hafsah.
Saidina Uthman pun mengirimkan naskah mushaf yang telah mereka tulis itu ke seluruh pelusuk dan beliau mengarahkan supaya dibakar mana-mana lembaran tulisan Al-Quran yang tersimpan selain dari yang beliau kirimkan itu.
Begitulah yang diceritakan oleh Anas bin Malik.
Moga-moga kita dapat belajar sesuatu, dan menghargai pengorbanan serta jasa mereka yang menulis dan mengumpulkan Al-Quran.
Kerana dari usaha mereka, maka hari ini sampai kepada kita sekarang yang dinamakan sebagai Al-Quran ‘Resam Uthmani’.
Begitulah.
Afnan Nasaruddin,
Doakan Saya, Maafkan Saya