Israk & Mikraj: Adakah Solat Sudah Diwajibkan Sebelum Itu?

SEMPENA sambutan Israk dan Mikraj hari ini, mungkin ada antara kita yang terfikir, adakah sebelum berlakunya peristiwa Nabi Muhammad SAW naik ke langit, solat fardu lima waktu sudah diwajibkan dalam syari’at?

Umum mengetahui, solat merupakan Rukun Islam kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Diibaratkan sebagai tiang agama, semua muslim di dunia ini diperintahkan untuk mendirikan solat fardu sebanyak lima kali sehari.

Hari ini pula adalah sambutan antara peristiwa yang cukup bersejarah dalam Islam iaitu Israk dan Mikraj. Umumnya bermula peristiwa inilah amalan solat fardu lima kali sehari mula diwajibkan ke atas semua umat Islam.

Merujuk tulisan Mufti Wilayah Persekutuan, kewajipan solat adalah bermula sejak Rasulullah SAW menerima wahyu pertama lagi iaitu ketika turunnya Surah Al-‘Alaq ayat satu hingga lima sewaktu Baginda berada bersendirian di Gua Hira’ pada usia 40 tahun.

[Infografik ringkas berkenaan wahyu pertama Rasulullah SAW | kredit: JAKIM/Facebook]
Namun difahamkan, menurut mufti, kejadian itu berlaku sebelum peristiwa Israk dan Mikraj lagi, serta sebelum bermulanya penghijrahan Baginda SAW ke Kota Madinah.

Bagaimana solat sebelum Israk dan Mikraj?

Jadi jika wahyu sudah turun sebelum Israk dan Mikraj serta peristiwa hijrah, bagaimanakah solat ketika itu? Berapa rakaat dan waktunya?

Jelas mufti, pada waktu sebelum Israk dan Mikraj, difahamkan solat ketika itu hanyalah dikerjakan sebanyak dua kali sahaja sehari, iaitu pada awal pagi dengan dua rakaat dan pada waktu senja dengan dua rakaat juga.

Jadi selepas berlakunya Israk dan Mikraj, barulah pensyariatan solat fardu lima kali sehari mula diwajibkan ke atas umat Islam.

Difahamkan, pensyariatan solat fardu lima waktu sehari ini dirakamkan dalam riwayat yang panjang serta masyhur berkenaan peristiwa agung tersebut, sebagaimana sabda Baginda SAW:

فَقَالَ: هِيَ خَمْسٌ، وَهِيَ خَمْسُونَ، لَا يُبَدَّلُ القَوْلُ لَدَيَّ

Maknanya: “Allah SWT berfirman: Lima waktu dan ia sebenarnya menyamai 50 waktu solat. Keputusan ini tidak berubah di sisi-Ku” (Riwayat Bukhari).

Maka dapatlah kita fahami bahawa riwayat di atas ini sudah pun menerangkan tentang bilangan solat fardu sebanyak lima kali sehari ke atas setiap muslim.

Sekejap, kenapa Allah menyebut ’50 waktu solat’? Apa bezanya dengan ‘lima waktu’ dalam firman yang sama?

[Laluan masuk ke Gua Hira’ | kredit: CNN Indonesia/Google]
Menurut Imam Badr al-Din al-‘Aini, Allah SWT (pada asalnya) memerintahkan untuk hamba-Nya mengerjakan solat fardu sebanyak 50 waktu dalam sehari.

Namun atas sifat rahmat dan ihsan-Nya ke atas hamba-hamba-Nya, bilangan itu akhirnya dikurangkan sehinggalah kepada lima waktu sahaja dalam sehari. Sungguh, Allah itu Maha Penyayang.

Namun jangan terkeliru. Walaupun Allah SWT berfirman sebegitu, ia bukanlah bermaksud langsung tiada perintah tentang kewajipan solat sebelum Israk dan Mikraj. Kenapa?

Kerana menurut mufti, difahamkan pensyariatan solat adalah bermula sejak Baginda SAW menjalankan dakwahnya ketika di Kota Mekah lagi.

‘Bertasbihlah memuji Tuhanmu’

Malah terdapat juga firman Allah SWT yang menyatakan beberapa keadaan berkenaan solat seperti dalam Surah Qaf ayat ke-39:

فَاصْبِرْ ‌عَلَى ‌مَا ‌يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ

Terjemahannya: “Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam”.

Justeru apakah yang dimaksudkan dengan istilah ‘bertasbihlah’? Adakah ia merujuk kepada amalan zikir atau solat?

Menurut Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-‘Azim, kalimah ‘bertasbihlah’ itu merujuk kepada kefarduan solat sebelum peristiwa Israk dan Mikraj sebanyak dua kali sehari, iaitu pada waktu sebelum matahari terbit (awal pagi) dan sebelum matahari terbenam (senja).

Ini bermakna, solat fardu sebenarnya sudah pun disyariatkan sebagai amalan wajib ke atas nabi dan umatnya ketika itu.

Nabi diperintah solat sejak terima wahyu pertama lagi

Di atas tadi ada disebut bahawa Baginda SAW sudah mendirikan solat sejak menerima wahyu pertama lagi. Perkara ini dijelaskan dalam riwayat Imam Ahmad:

أَنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَاهُ فِي أَوَّلِ مَا أُوحِيَ إِلَيْهِ، ‌فَعَلَّمَهُ ‌الْوُضُوءَ ‌وَالصَّلَاةَ

Maknanya: “Sesungguhnya Jibril AS datang kepada Rasul SAW ketika menyampaikan wahyu pertama dan mengajarkan Rasul SAW wuduk dan solat” (Riwayat Ahmad, 17,480).

[Pemandangan Jabal Nur yang menempatkan Gua Hira’, lokasi Baginda SAW menerima wahyu pertama | kredit: Madain Project/Google]
Namun begitu, bilangan dan rakaat solat sebelum berlakunya Israk dan Mikraj adalah berbeza, iaitu Baginda SAW mengerjakan solat sebanyak dua rakaat pada awal pagi dan penghujung siang hari, sebagaimana yang turut disebutkan oleh al-Harabi.

Jadi kesimpulannya, kewajipan solat hakikatnya sudah pun bermula sejak Baginda SAW menerima wahyu pertama lagi iaitu sebelum Israk dan Mikraj serta berhijrah ke Kota Mekah.

Maka sepanjang waktu itu, ibadat solat yang disyariatkan adalah dua waktu sehari iaitu dua rakaat pada awal pagi serta dua rakaat pada waktu senja.

Manakala selepas berlakunya peristiwa agung Israk dan Mikraj, maka bermulalah pensyariatan solat fardu sebanyak lima waktu sehari dengan bilangan rakaat masing-masing iaitu Subuh (dua rakaat); Zohor (empat); Asar (empat); Maghrib (tiga) dan Isyak (empat).

Dapat sesuatu?

Sumber rujukan: Al-Kafi 1978: Adakah Solat Diwajibkan Sebelum Peristiwa Israk?, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca juga: Hukum Tulis Ayat Suci Al-Quran Dalam Tulisan Rumi

Suka Artikel Ini?

Facebook
WhatsApp
Telegram

4 thoughts on “Israk & Mikraj: Adakah Solat Sudah Diwajibkan Sebelum Itu?”

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *