Boleh ke tulis ayat al-Quran macam بسم الله الرحمن الرحيم dalam tulisan rumi? Adakah ia dianggap ‘mengubah’ keaslian ayat suci al-Quran?
TELEFON pintar, komputer riba, tv pintar dan sebagainya, semuanya adalah antara peralatan paling penting dalam urusan seharian kita, kan?
Boleh dikatakan kebanyakan perisian programnya menggunakan piawaian standard antarabangsa iaitu bahasa Inggeris dan tulisan abjad rumi, berbanding tulisan serta bahasa negara tertentu sendiri.
Kita sendiri pun, kalau nak menulis di telefon pintar, mestilah akan guna tulisan rumi ye tak? Jaranglah kalau nak guna tulisan lain macam jawi dan sebagainya.
Tapi macam mana pulak kalau ayat-ayat al-Quran? Dah ‘elok’ ia ditulis dalam tulisan jawi sebagaimana ‘keasliannya’ pada mashaf, takkan nak ditukar ke rumi pulak? Boleh ke?
Anda keliru? Mufti bantu
Merujuk mufti, mereka memandang situasi dan persoalan ini daripada beberapa keadaan.
Bagi keadaan pertama, kalimah contoh, بسم الله الرحمن الرحيم ditulis semula secara transliterasi kepada tulisan rumi iaitu ‘Bismillahirrahmanirrahim’, maka pada asalnya ia tidak dibenarkan dan tidak dikira sebagai ayat al-Quran. Kenapa?
Ini kerana terdapat sebahagian huruf bahasa Arab yang tiada dalam rumi. Maka ia boleh menyebabkan terjadinya kesalahan dalam bacaan yang boleh membawa kepada perubahan makna al-Quran itu sendiri.
Namun! Jika transliterasi itu tadi disertakan sekali dengan ayat al-Quran asal tersebut, maka ia dibenarkan dalam sesetengah pendapat, yang bertujuan untuk pembelajaran.
Sebagai contoh, gambar di bawah menunjukkan keadaan ayat transliterasi ‘Bismillahirrahmanirrahim’ yang disertakan sekali tulisan asalnya بسم الله الرحمن الرحيم. bagi tujuan pembelajaran.
Jelas mufti, ini selalunya bagi memudahkan mereka yang bukan berbangsa / berbahasa Arab untuk membaca al-Quran. Namun, dalam masa sama mereka juga perlu berusaha memperbaiki bacaan sendiri dari semasa ke semasa agar ia bertepatan dengan sebutan serta makhraj.
Difahamkan Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fatwa Kontemporari pun ada jelaskan perkara sama, iaitu menulis ayat al-Quran dalam bahasa selain Arab pada asalnya tak dibenarkan, namun dibolehkan untuk konteks penulisan akademik dan juga pembelajaran.
Bagi keadaan kedua pula, kata mufti, jika yang dimaksudkan menulis بسم الله الرحمن الرحيم dengan terjemahannya sekali iaitu ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’, maka ia dibenarkan dan termasuk dalam kategori terjemahan al-Quran.
Namun tegas mufti, terjemahan itu perlulah tepat dengan kaedah bahasa Arab yang telah ditetapkan.
Ini kesimpulan pihak mufti yang perlu anda tahu
Walau bagaimanapun, mufti cenderung untuk berpendapat bahawa adalah tidak boleh menulis ayat al-Quran dengan tulisan rumi untuk menutup ruang penyelewengan yang dipercayai boleh berlaku daripada sudut perubahan makna dan juga lafaz.
Malah selain itu, mufti juga berpendapat ia sudah pasti tidak akan menepati tajwid dan menyalahi apa yang telah ditulis oleh para ulama’ berkenaan dengan rasm al-Quran itu sendiri.
Kata mufti, Allah SWT telah menyebutkan berkenaan al-Quran dalam bahasa Arab, maka begitulah juga mafhumnya iaitu tulisan hendaklah ditulis dalam bahasa Arab.
Sebagai kata akhir, adalah sangat perlu bagi mereka yang ingin membaca al-Quran untuk berguru, bertalaqqi dan bersyafawi melalui guru-guru sebagaimana yang diamalkan sejak zaman dahulu.
Sirah zaman nabi juga pernah merakamkan bagaimana para Sahabat ‘mengambil’ bacaan al-Quran itu sendiri daripada Nabi Muhammad SAW sebelum ‘diwariskan’ daripada generasi ke generasi secara bersanad sehinggalah kepada kita hari ini.
Dapat sesuatu? Jom amalkan.
Jom lengkapkan ilmu al-Quran anda dengan kami
Justeru, kami di Quran Pro Academy (QPA) berbesar hati nak ajak anda semua untuk sertai kelas-kelas al-Quran kami yang dijalankan secara online dari semasa ke semasa.
Apa yang menariknya tentang kami kat QPA?
Guru-guru yang ditampilkan adalah terdiri daripada mereka yang Hafiz & Hafizah 30 juzuk, selain lulusan bidang pengajian al-Quran dari pelbagai institusi sama ada dalam dan luar negara!
Ilmu yang disampaikan pun cukup berkualiti, bersilibus dan bermodul, malah sistem pengurusan dan pembelajaran yang profesional juga pasti akan membuatkan diri anda terasa sangat-sangat dibimbing!
Jadi jangan lepaskan peluang, jom ikuti kami melalui Facebook, Instagram, TikTok, Youtube dan Telegram bagi mengetahui informasi dan kelas-kelas terkini SEKARANG!
Nak pro mengaji? Jom..Quran Pro Academy!
Sumber rujukan: AL-KAFI 426: Menulis Ayat Al-Quran Menggunakan Tulisan Rumi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan