Ini adalah lima waktu terbaik yang boleh kita manfaatkan dalam rutin seharian untuk baca Quran dengan lebih istiqamah.
SETIAP manusia diberikan tempoh masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam. Terpulang kepada cara masing-masing untuk menggunakannya dengan sebaik mungkin.
Selaku Muslim, wajiblah kita untuk memperuntukkan sebahagian waktu dalam sehari untuk urusan ibadah kepada Allah SWT, lebih-lebih lagi amalan ibadah yang wajib serta disusuli dengan sunat (sebaiknya).
Membaca al-Quran juga adalah amalan yang sangat dituntut dalam seharian. Kita juga dipandukan dengan beberapa surah pilihan sebagai ‘amalan berjadual’ yang boleh diamalkan mengikut waktu tertentu.
Misalnya, surah Al-Waqiah biasanya dibaca ketika waktu pagi hari, manakala surah al-Mulk pula dibaca pada waktu malam sama ada selepas solat Isyak mahupun sebelum tidur.
Justeru artikel kali ini berkongsi tentang lima waktu yang sesuai untuk kita membaca al-Quran setiap hari.
1. Waktu pagi
Bahagikan tempoh waktu pagi kepada dua bahagian, iaitu sebelum solat Subuh dan selepasnya. Solat sunat sebelum Subuh kan antara ibadah yang sangat dituntut. Ini seperti yang diceritakan dalam hadis daripada Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ
Maksudnya: “Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengamil berat tentang dua rakaat fajar,” (hadis riwayat Al-Bukhari, 1116)
Ada satu lagi hadis yang menyatakan perkara sama, iaitu daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
Maksudnya: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya,” (hadis riwayat Muslim, 725)
Jika mahu lebih baik, mungkin waktu selepas solat fardu Subuh itu kita boleh gantikan mengaji dengan bacaan zikir al-Mathurat.
Ringkasannya: solat sunat fajar/qabliah + baca al-Quran + solat Subuh + baca al-Mathurat
2. Waktu Dhuha
Selepas melakukan solat sunat Dhuha, alangkah bagusnya kalau kita teruskan beribadah dengan membaca al-Quran, bukan?
Sudahlah kita menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat dan rezeki melalui dua rakaat Dhuha, kemudian kita menambah lagi ibadah mengaji al-Quran sebagai ‘tanda’ menghayati kata-kata-Nya.
Solat sunat bersyukur atas rezeki + baca al-Quran mendalami pesanan-Nya = terasa lengkap ibadah Dhuha kita. Insya-Allah.
Ringkasannya: solat sunat Dhuha + baca al-Quran
3. Waktu tengah hari
Bahagikan juga tempoh waktu Zohor ini kepada dua bahagian, iaitu sebelum solat dan selepas solat. Lebih bagus kalau solat fardu kita itu diiringi dengan solat sunat rawatib.
Bagi golongan bekerja, mungkin boleh manfaatkan waktu rehat yang ada untuk buat solat sunat rawatib atau baca al-Quran sekali jika masa mengizinkan.
Bagi suri rumah, bekerja di rumah atau bekerja sendiri pula, rasanya mungkin tiada masalah ‘masa singkat’ untuk buat solat sunat rawatib atau baca al-Quran atau kedua-duanya sekali.
Ringkasannya: solat sunat qabliah + baca al-Quran + solat fardu Zohor + solat sunat ba’diah + baca al-Quran
4. Waktu petang
Manfaatkan petang anda dengan solat Asar yang disusuli dengan ibadah sunat seperti solat sunat qabliah, bacaan al-Quran dan bacaan al-Mathurat.
Ringkasannya: solat sunat qabliah + baca al-Quran + solat fardu Asar + baca al-Mathurat
5. Waktu malam
Biasanya pada waktu lewat petang atau menjelang Maghrib, kita sibuk dengan urusan-urusan lain seperti siapkan anak, masak makan malam, masih di jalan raya (pulang dari kerja), balik dari beriadah dan seumpamanya.
Jadi waktu terbaik untuk baca al-Quran (yang lazimnya ramai amalkan) adalah pada tempoh waktu antara selepas solat Maghrib hingga ke Isyak, serta selepas solat Isyak sekali.
Tempoh masa ini biasanya lazim dihidupkan dengan aktiviti mengaji al-Quran sama ada secara fizikal di rumah, surau dan masjid mahupun secara online di mana-mana.
Bagi yang menghafaz al-Quran pula, tempoh masa ini juga adalah waktu terbaik untuk menghafaz atau mengulangi hafazan masing-masing.
Malah selepas solat Isyak beserta rawatib, kita juga boleh sambung mengaji dengan bacaan surah pilihan seperti al-Mulk.
Ringkasannya:
solat sunat qabliah + solat fardu Maghrib + solat sunat ba’diah + baca al-Quran
solat sunat qabliah + solat fardu Isyak + solat sunat ba’diah + bacaan surah al-Mulk
Kesimpulannya, demikianlah lima waktu pilihan terbaik untuk kita baca al-Quran dalam rutin seharian. Gunakan tempoh 24 jam yang Allah beri ini dengan sebaiknya.
Lebih baik jika tempoh masa tersebut ‘diberatkan’ dengan amalan-amalan ibadah wajib dan sunat supaya hidup kita sentiasa ‘diiringi’ dengan pahala kebaikan yang berganda. Insya-Allah.
Akhir kalam, semoga artikel ini boleh dijadikan panduan untuk kita dapat membaca al-Quran setiap hari dengan lebih istiqamah.
Dapat sesuatu?
Tidak cukup dengan mengaji al-Quran, jom tambah ilmu tentang perkara sah dan batalkan solat melalui Seminar Sah & Batal Solat yang disampaikan oleh Ustaz Afif Nasaruddin pada 29 April ini secara PERCUMA, daftar di sini sekarang!