Trivia Quran: 5 Fakta Menarik Surah Terpendek Dalam al-Quran, Al-Kauthar
SATU-SATUNYA surah paling ringkas tertulis dalam al-Quran ialah Surah al-Kauthar yang hanya terdiri daripada tiga ayat pendek sahaja.
Mari kita baca sebentar Surah al-Kauthar dan terjemahannya.
Terjemahannya:
Ayat 1: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).
Ayat 2: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
Ayat 3: Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
Namun tahukah anda, di sebalik tiga ayat ini, terkandungnya konteks yang sangat besar intipatinya untuk kita fahami dan hayati. Jom sama-sama kita ketahui lima fakta menarik tentang Surah al-Kauthar:
Lima fakta penting surah terpendek dalam al-Quran, al-Kauthar
1. Paling pendek, namun padat maknanya
Surah ini hanya terdiri daripada tiga ayat, menjadikannya sebagai surah paling pendek di dalam al-Quran. Walaupun pendek, namun ia membawa makna yang sangat mendalam tentang nikmat kurniaan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.
2. Tanda penghormatan besar kepada Nabi Muhammad SAW
Pengisian Tafsir Ibnu Kathir bagi Surah al-Kauthar menjelaskan bahawa surah ini diturunkan sebagai tanda penghormatan besar daripada Allah kepada Nabi Muhammad SAW.
Nama surah terpendek yang diambil daripada sungai di syurga
3. Nama surah & nikmat al-Kauthar
Merujuk Tafsir Ibnu Kathir, istilah ‘al-Kauthar’ dijelaskan dengan beberapa makna. Ada tafsirannya merujuk kepada sungai atau telaga seperti yang disebut dalam beberapa hadis nabi.
Menurut baginda, al-Kauthar memiliki air yang lebih putih daripada susu, rasanya yang lebih manis daripada madu dan jumlah bekas minumnya tersangat banyak seakan menyamai gugusan bintang di langit.
Selain itu, ada juga tafsiran ‘al-Kauthar’ yang merujuk kepada limpahan kebaikan yang sangat banyak ke atas Nabi Muhammad SAW baik di dunia mahupun di akhirat.
4. Ajaran syukur & ibadah
Dalam ayat kedua, Allah memerintahkan baginda untuk mendirikan solat dan berkorban sebagai tanda kesyukuran. Ini memberi pengajaran penting kepada umat Islam untuk sentiasa mensyukuri nikmat Allah dengan beribadah dan berkorban.
5. Balasan keburukan kepada sesiapa yang membenci Nabi Muhammad SAW
Dalam ayat ketiga, Allah berfirman: “Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)”.
Surah ini juga merujuk kepada ujian dan cemuhan yang dihadapi baginda. Justeru dalam ayat ini, Allah memberi jaminan bahawa sesiapa yang membenci dan mencela baginda, mereka akan ‘terputus’ iaitu dijauhkan daripada rahmat-Nya.
Ayat ini menekankan kekuatan dan ketenangan yang diberikan Allah kepada Nabi Muhammad SAW, sekali gus memperkuatkan nilai kesyukuran melalui solat dan korban yang disebut dalam ayat kedua – sebagai cara mengungkapkan rasa syukur kepada Allah atas nikmat-Nya.
Jelas & dapat sesuatu? Jom ‘share’ artikel ini untuk bacaan bersama.
BACA JUGA: Surah Terpanjang Dalam Al-Quran, Ini 5 Fakta Menarik Al-Baqarah
BACA JUGA: Kenali Lima Makhraj Huruf Hijaiyah
Perkongsian oleh QuranPro Academy