Perbezaan Kisah Nabi Hud Dalam Surah Al-A’raf & Surah Hud

KISAH Nabi Hud alaihissalam (AS) terdapat dalam dua surah utama di dalam al-Quran, iaitu surah Al-A’raf (ayat 65 hingga 72) dan surah Hud (ayat 50 hingga 60).

Walaupun kedua-duanya mengisahkan tentang dakwah Nabi Hud kepada kaumnya iaitu kaum ‘Aad, terdapat beberapa perbezaan penekanan dan pengajaran dalam kedua-dua surah tersebut.

Gaya & penceritaan

Dalam surah Al-A’raf, gaya penceritaannya lebih ringkas & umum. Fokusnya adalah tentang seruan Nabi Hud mengajak kaumnya menyembah Allah & meninggalkan berhala.

Ia juga memfokuskan tentang tindakan kaum ‘Aad yang menolak dakwah dengan angkuh, selain peringatan Nabi Hud akan azab Allah yang bakal menimpa mereka jika terus ingkar.

Konteks penolakannya juga digambarkan secara umum & tidak begitu terperinci.

Namun dalam surah Hud, penceritaannya lebih mendalam & terperinci, memaparkan dialog antara Nabi Hud dan kaumnya serta reaksi mereka yang berulang-kali menolak dakwahnya.

Surah ini juga memfokuskan tentang penegasan dakwah baginda, termasuklah bagaimana baginda dicabar dan dituduh sebagai seorang yang sesat.

Nabi Hud sebaliknya terus berani dan tegas membalas tuduhan mereka dengan memperincikan balasan-balasan yang Allah akan turunkan.

Penekanan keadaan kaum ‘Aad

Surah Al-A’raf menekankan kaum ‘Aad sebagai kaum yang menolak kebenaran dan tegar mengikut ajaran nenek moyang mereka.

Ia juga menekankan keingkaran kaum ‘Aad terhadap dakwah Nabi Hud, serta ketidakpercayaan mereka akan kebangkitan selepas mati.

Manakala surah Hud, ia menekankan kemegahan dan keangkuhan kaum ‘Aad yang begitu berbangga dengan kekuatan fizikal dan teknologi dimiliki seperti membina bangunan di tanah tinggi.

Selain itu, ia juga menekankan penolakan kaum ‘Aad terhadap seruan dakwah, selain menganggap mereka terlalu kuat serta mampu mendepani bencana.

Surah Hud turut memperincikan kehebatan-kehebatan kaum ‘Aad daripada segi fizikal. Namun mengingatkan juga bahawa kekuatan duniawi tidak mampu menolak azab Allah.

BACA JUGA: Ini Nama-nama Lain Bagi Al-Quran, Bukan Satu Saja

Balasan & azab daripada Allah

Konteks azab dalam surah Al-A’raf lebih umum, iaitu kaum ‘Aad yang dibinasakan kerana angkuh dan menolak peringatan. Allah menghancurkan mereka tanpa perincian khusus tentang bentuk azab.

Manakala konteks azab dalam surah Hud pula dijelaskan lebih spesifik, iaitu tentang kaum ‘Aad yang dibinasakan dengan bencana angin kencang yang bertiup selama beberapa hari. Walaupun ada kekuatan fizikal, mereka tetap tidak dapat melawan azab.

Surah ini juga menjelaskan bagaimana Nabi Hud dan pengikutnya yang beriman diselamatkan Allah, menunjukkan perbandingan yang jelas antara kaum yang ingkar dan yang taat.

Nada dakwah Nabi Hud

Dalam surah Al-A’raf, dakwah Nabi Hud serta peringatan azab Allah jika menolaknya diceritakan lebih umum. Ayat-ayatnya juga lebih kepada berbentuk amaran.

Manakala bagi surah Hud, seruan dakwah diceritakan dengan lebih terperinci dan mendalam beserta hujah-hujah Nabi Hud yang kuat terhadap kaumnya.

Nabi Hud turut mengingatkan kaumnya yang mereka tidak akan kekal, malah kekuatan dimiliki juga tidak mampu menyelamatkan mereka daripada azab Allah.

Pengajaran

Surah Al-A’raf menekankan peringatan umum bahawa azab akan menimpa jika manusia enggan mengikuti petunjuk Allah.

Kisah ini juga mengajar bahawa berpegang kepada ajaran nenek moyang seperti menyembah berhala boleh membawa kepada kebinasaan.

Manakala surah Hud pula menekankan tentang bahayanya sifat sombong, khususnya apabila manusia berasa bahawa kekuatan atau harta mereka boleh menyelamatkan mereka daripada kuasa Allah.

Surah Hud juga memberi amaran bahawa kesombongan adalah salah satu sebab utama berlakunya kehancuran yang membinasakan.

Kekuasaan Allah ditegaskan di sini, bahawa tiada siapa yang boleh menolak kehendak-Nya, walau sehebat mana pun kekuatan yang dimiliki oleh kaum tersebut.

Kesimpulannya, surah Al-A’raf memberikan gambaran umum tentang dakwah Nabi Hud dan azab yang menimpa kaumnya.

Manakaka surah Hud pula menyelami lebih mendalam mengenai dialog, keangkuhan kaum ‘Aad dan bentuk azab yang mereka terima, selain turut menekankan bahawa kesombongan dan kebanggaan terhadap kekuatan duniawi adalah sebab utama kehancuran mereka.

Justeru daripada kedua-dua surah ini, dapatlah kita melihat bahawa Allah memberi peringatan dengan cara yang berbeza untuk menunjukkan betapa pentingnya tauhid dan menjauhkan diri daripada kesombongan dan keangkuhan.

BACA JUGA: Ini Lima Waktu Terbaik Baca Quran Dalam Seharian

Sumber rujukan & olahan: Tafsir Ibnu Kathir

Suka Artikel Ini?

Facebook
WhatsApp
Telegram

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *