Bila Ramadhan hampir tiba, maka perkataan di atas menjadi sebutan orang ramai. Masing-masing merancang & menyusun agenda terbaik untuk merealisasikan program Tadarus Al-Qur’an.
Ianya bertujuan untuk menghidupkan suasana Ramadhan dengan bacaan Al-Qur’an. Ia dilakukan di Masjid, Surau atau di rumah masing-masing. Dan di pertengahan atau di penghujung Ramadhan, akan dibuat majlis Khatam Al-Qur’an.
Ini adalah satu inisiatif yang bagus kerana ia dapat menggalakkan masyarakat untuk berdamping dengan Al-Qur’an sepanjang bulan Ramadhan. Kita pun sudah maklum akan ganjaran membaca Al-Qur’an. Dan ganjaran itu berlipat kali ganda apabila dilakukan di dalam Bulan Ramadhan.
Jadi, saya nak ajak kita semua untuk memahami maksud sebenar Tadarus Al-Qur’an. Yang mungkin masih ramai yang belum memahami maknanya.
Kalimah Tadarus berasal dari درس yang bermakna belajar, meneliti, memahami & mengkaji. Kemudian ditambah di hadapan kalimah itu dengan huruf Ta’. Maka jadilah ia تدارس yang bermakna saling belajar, saling meneliti, saling memahami & saling mengkaji.
Kemudian apabila digabungkan menjadi TADARUS AL-QUR’AN, maka maknanya menjadi saling mempelajari,memahami & meneliti Ilmu Al-Qur’an.
Mengikut pandangan ulama tafsir pada makna belajar ilmu Al-Qur’an, ia terbahagi kepada 3 tahap. Pertama, belajar ilmu tahsin bacaan Al-Qur’an. Kedua, memahami serta menghayati setiap kalimah yang disebutkan di dalam Al-Qur’an. Ketiga, mempraktikkan segala ilmu yang terkandung di dalam Al-Qur’an.
Seorang Sahabat, Ibnu Mas’ud berkata “Adalah seorang dari kami jika telah mempelajari 10 ayat maka ia tidak menambahnya sampai ia mengetahui maknanya dan mengamalkannya.” Hadis ini disahkan oleh Syeikh Ahmad Muhammad Syakir dalam tafsir At-Thobari (I/80).
Kita melihat pada hari ini, Tadarus Al-Qur’an telah menjadi adat dalam masyarakat kita. Tetapi ia tidak membawa maksud sebenar Tadarus. Ia hanya menggunakan istilah itu sahaja tetapi apa yang dibuat di dalamnya hanyalah tilawah Al-Qur’an iaitu membaca Al-Qur’an beramai-ramai sehingga khatam 30 juzu’.
Tidak dinafikan bahawa membaca Al-Qur’an sehingga khatam 30 juzu’ merupakan amalan Nabi, para sahabat, ulama’-ulama’ & masyarakat arab. Ada yang khatam berkali-kali sepanjang Bulan Ramadhan. Apabila mereka membaca Al-Qur’an, mereka terus memahami makna kalimah yang sedang dibaca itu. Setiap kali mereka baca, mereka akan tersentuh & ada juga yang mengalirkan air mata.
Adakah kita seperti mereka? Kita juga ingin mengejar khatam 30 juzu’ tetapi kita tidak memahami apa yang kita sedang baca. Makna yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu tidak memasuki ke dalam jiwa. Seolah-olah khatam itu yang paling utama berbanding Tahsin bacaan dengan betul, Tadabbur makna setiap ayat yang dibaca & beramal dengan apa yang disampaikan.
Jadi, saya menyeru kepada semua supaya kita ubah mindset kita bermula Ramadhan tahun ini. Utamakan konsep pembelajaran Al-Qur’an yang betul. Semoga dengan usaha ini, maka kita & masyarakat akan lebih memahami serta menghayati setiap ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca. Setiap kali membacanya dengan betul, hati kita juga tersentuh dengan maknanya.
Jom kita jadikan Al-Qur’an bukan sekadar untuk dibaca, tapi untuk dihayati & diamalkan.
Wallahua’lam…