Ini Nama-nama Lain Bagi Al-Quran, Bukan Satu Saja

TAHUKAH anda, terdapat beberapa nama lain lagi bagi Al-Quran dan kepelbagaian ini menggambarkan betapa istimewa dan mulianya ia.

TAHUKAH anda, selain daripada ‘Al-Quran’, terdapat beberapa nama lain lagi bagi kitab suci tersebut. Kepelbagaian nama ini adalah menggambarkan betapa istimewa dan mulianya Al-Quran itu sendiri.

Difahamkan para ulama’ ada berbeza pandangan dengan jumlah sebenar bilangan nama Al-Quran. Namun dalam perkongsian Trivia Quran kali ini, kami tampilkan empat nama yang tercatat dalam Al-Quran seperti yang dibahaskan oleh para ulama’ dalam kitab mereka.

Nama-nama lain bagi Al-Quran

 

1. Al-Furqan: Imam Al-Suyuti dalam kitabnya Al-Itqan Fi Usul Al-Quran menyatakan bahawa nama ‘Al-Furqan’ adalah kerana membezakan antara perkara benar dan batil.

Dr. Wahbah Zuhaili pula menyatakan dalam Al-Tafsir Al-Munir bahawa ia dinamakan ‘Al-Furqan’ adalah disebabkan الفرق (al-farq) iaitu membezakan الحق (al-haq) dan البطل (al-batil), الايمان (al-iman) dan الکفر (al-kufr) serta kebaikan dan keburukan.

Malah nama Al-Furqan juga tercatat dalam Surah Al-Furqan pada ayat pertama:

تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا

Terjemahannya: Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqan kepada hamba-Nya (Muhammad) untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.

2. Al-Kitab: Imam Fakhruddin Al-Razi di dalam tafsirnya Al-Tafsir Al-Razi menyatakan ‘Al-Kitab’ merupakan kata terbitan seperti القيام (al-qiam) dan الصيام (al-siyam). Malah daripada segi bahasa, ‘Al-Kitab’ bermaksud himpunan yang menunjukkan di dalam Al-Quran terhimpunnya segala ilmu, kisah dan perkhabaran.

Allah juga menyebut nama ‘Al-Kitab’ ini dalam Surah An-Nahl ayat 89:

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ

Terjemahannya: Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

‘Al-Quran sebagai cahaya petunjuk’

Gambar sekadar hiasan/ihsan Google

3. Al-Nur: Imam Al-Suyuti dalam Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran menyatakan, nama ‘Al-Nur’ ini adalah merujuk kepada Al-Quran yang memberi cahaya petunjuk kepada permasalahan yang tidak jelas dalam hal halal dan haram, selain turut memberi penjelasan yang tidak dapat dicapai oleh akal fikiran.

Allah berfirman dalam Surah Al-Nisa’ ayat 174:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَكُم بُرْهَانٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكُمْ نُورًا مُّبِينًا

Terjemahannya: Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti daripada Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).

4. Al-Mushaf: Dr. Wahbah Zuhaili dalam Al-Tafsir Al-Munir menyatakan ‘Al-Mushaf’ berasal daripada perkataan اصحاف (ashaf) yang bermaksud mengumpulkan الصحف (al-suhuf) iaitu lembaran.

Allah juga berfirman dalam Surah Abasa ayat 13:

فِي صُحُفٍ مُّكَرَّمَةٍ

Terjemahannya: (Ayat-ayat suci itu tersimpan) dalam naskah-naskah yang dimuliakan.

Tidak kurang juga, Imam Al-Razi dalam Al-Tafsir Al-Razi juga menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah hal-hal kemuliaan Al-Quran dan menggambarkan Al-Quran itu disimpan, iaitu disimpan dengan sempurna di dalam lembaran-lembaran (الصحف) yang terletak di Luh Mahfuz yang dimuliakan Allah, serta kesuciannya yang suci daripada gangguan syaitan.

Kesimpulannya, kepelbagaian nama bagi Al-Quran tidak lain tidak bukan adalah menunjukkan bahawa kitab suci ini merupakan kalam Allah yang agung, seperti mana yang disebut oleh Imam Al-Nawawi dalam Tahzib Al-Asma’ Wa Al-Lughah:

“Sesungguhnya banyak nama itu menggambarkan kebesaran empunya nama. Ini seperti mana Allah dan rasul-Nya yang mempunyai pelbagai nama.”

Jelas dan dapat sesuatu? Jom ‘share’ Trivia Quran ini untuk bacaan bersama.

Artikel oleh Quran Pro Academy

 

Baca juga: Kenali Tujuh Bacaan ‘Rare’ Dalam Al-Quran

Sumber rujukan & olahan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Suka Artikel Ini?

Facebook
WhatsApp
Telegram

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *